KEPUTIHAN SEWAKTU HAMIL

Bagaimana saya tahu jika saya mengalami keputihan?

Lelehan faraj yang lebih banyak daripada biasa adalah normal bagi wanita hamil. Lelehan yang sihat bersifat cair dan berwarna seperti susu. Tetapi jika anda mengalami keputihan:
lelehan itu menjadi pekat, berwarna putih seperti krim atau seperti keju kotej;
terdapat kegatalan,
* sakit atau warna kemerah-merahan di dalam atau sekeliling faraj atau punggung anda;
* anda akan rasa sakit apabila bersama suami;
* rasa sakit apabila membuang air kecil.
* RASA GATAL SEKITAR BIBIR KEMALUAN DAN RONGGA VAGINA
* kulit bibir vagina dan celah kelangkang mudah melecet


Bagaimanakah saya boleh mendapat keputihan?

Jangkitan pada bahagian faraj agak biasa berlaku semasa hamil. Keputihan diakibatkan oleh kulat mikroskopik atau yis yang dipanggil candida albicans. Kulat ini ada dalam badan setiap orang. Ia merupakan sebahagian daripada sistem penghadaman kita dan secara umumnya, bakteria dalam badan mengawalnya. Biasanya ia hidup dalam faraj tanpa memudaratkan dan anda mungkin tidak tahu ia berada dalam badan anda.

Namun ia menjadi satu masalah apabila terdapat ketidakseimbangan di antara jumlah kulat yis dan mikro-organisme lain dalam badan kita. Anda lebih berkemungkinan mengalami keputihan jika:
Anda hamil. Semasa hamil, faraj kita mengandungi gula yang tinggi yang dipanggil glikogen, dan ini menggalakkan pertumbuhan kulat.
Anda memakai pakaian yang ketat atau yang diperbuat daripada bahan sintetik, seperti seluar jeans atau seluar dalam daripada nilon. Pakaian seperti ini panas dan menghalang peredaran angin, lantas menggalakkan pertumbuhan keputihan.
Anda menggunakan mandian buih berwangian atau pelapik seluar dalam beraroma yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan.
Anda mengambil antibiotik. Antibiotik boleh mengganggu keseimbangan di antara mikro-organisme baik dan jahat yang tinggal di dalam perut anda.
Anda mengalami kencing manis atau diabetes gestasi yang tidak dikawal dengan baik.

Walaupun keputihan tidak dikategorikan sebagai penyakit yang berjangkit melalui hubungan seksual, anda boleh mengalaminya jika suami anda mengalaminya.


Bilakah saya harus berjumpa doktor?

Jika anda rasa anda mengalami keputihan, beritahulah doktor anda. Jangan menderita dalam diam. Doktor anda mungkin akan memeriksa kawasan di sekitar faraj untuk mengenalpasti masalah sebenarnya. Jika beliau tidak pasti samada itu adalah keputihan, beliau akan mencadangkan ujian makmal dilakukan, di mana sedikit cairan akan diambil daripada faraj dan dihantar ke makmal.

Doktor anda mungkin akan mempriskripsikan ubat jenis pessari atau krim anti kulat yang sesuai digunakan pada tahap kehamilan anda. Anda mungkin memerlukan rawatan penuh selama tujuh hari untuk menghapuskan keputihan dengan sempurna. Walau bagaimanapun, jika anda dalam trimester pertama, doktor anda mungkin tidak mahu mempriskripsikan apa-apa setakat itu.

Jika anda diberikan ubat jenis pessari, anda juga mungkin diberi alat untuk memasukkan ubat itu ke dalam faraj. Jika ini berlaku, berhati-hati supaya tidak memberi tekanan kepada serviks, iaitu bahagian leher uterus (rahim) anda. Anda mungkin lebih suka memasukkannya dengan perlahan-lahan menggunakan jari sendiri.

Keputihan boleh jadi sukar untuk dihapuskan apabila anda hamil. Rawatan yang berkesan bagi wanita yang tidak hamil mungkin tidak berkesan pada anda. Bincanglah dengan doktor anda sebelum menggunakan apa-apa ubat yang boleh dibeli di pasaran. Ia bukan sahaja mahal, malah tidak semestinya berkesan dan mungkin tidak sesuai digunakan semasa hamil. Jangan ambil ubat yang anda harus telan untuk merawat keputihan. Kita masih belum tahu samada ianya selamat diambil ketika hamil.

Jika suami anda mempunyai simptom-simptom keputihan, dia juga perlu menerima rawatan. Jika tidak, ada kemungkinan anda akan dijangkiti lagi walaupun setelah anda menerima rawatan.


Adakah apa-apa rawatan di rumah yang boleh saya cuba?

Sesetengah cadangan berikut mungkin boleh membantu:
- Sapukan yogurt asli dengan bakteria hidup ke dalam dan di sekeliling faraj.
- Pakai seluar dalam kapas, seluar panjang yang longgar atau kain.
- Jangan berendam dalam mandian panas terlalu lama kerana ini menyediakan persekitaran yang -       hangat dan lembap yang sangat sesuai untuk pembiakan kulat.
- Jangan gunakan mandian buih yang mempunyai wangian juga.
- Lap punggung hingga ke bahagian hadapan sehingga benar-benar kering selepas anda ke tandas.
- Pastikan faraj anda cukup basah sebelum anda bersama suami.
- jangan makan makan yang sejuk seperti timun, tembikai, ais


Adakah keputihan akan membahayakan bayi saya?

Tidak. Bayi anda selamat dan terlindung di dalam uterus (rahim) anda dan tidak terjejas sama sekali. Jika anda mengalami jangkitan semasa anda sakit bersalin, TAPI..ada sedikit kemungkinan yang bayi anda akan dijangkiti apabila dia melalui faraj anda ketika keluar daripada rahim.

Jika bayi anda yang baru lahir mengalami keputihan, anda akan melihat tompokan putih di mulutnya. Jika anda menyusu badan, kedua-dua ibu dan bayi memerlukan rawatan kerana keputihan ini boleh merebak ke payudara anda juga.

Anda mungkin dapati keputihan datang dan pergi sepanjang kehamilan. Walaupun ia mengambil masa untuk dihapuskan dan agak tidak menyelesakan, ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan sangat.


Mengapakah terlalu banyak cairan keluar daripada faraj saya?

Sebenarnya agak biasa bagi wanita hamil mengalami lebih rembesan faraj. Ia biasanya tidak berbahaya.

Apa yang anda lihat itu dipanggil leukorea (leucorrhoea). Ia merupakan cairan atau rembesan seakan-akan susu yang sedikit berbau. Ia berlaku kerana terdapat lebih banyak darah mengalir di kawasan sekitar faraj. Ia mungkin tidak jauh berbeza daripada rembesan yang anda alami sebelum hamil, kecuali kini jumlahnya lebih banyak.

Biasanya rembesan ini bertambah banyak menjelang tarikh anda dijangka bersalin. Pada peringkat ini, anda juga mungkin terlihat sedikit darah bercampur lendir yang dipanggil "show". Ia berfungsi sebagai palam yang mengunci serviks di pintu masuk uterus (rahim) anda. Apabila ia menjadi longgar dan tercabut, ini merupakan salah satu tanda bahawa proses kelahiran akan bermula tidak lama lagi.


Bagaimana cara untuk menangani rembesan faraj yang berlebihan ini?

Pertama sekali, ingatlah bahawa keadaan ini adalah normal dan ia merupakan perubahan sementara yang diakibatkan oleh kehamilan. Anda tidak perlu berbuat apa-apa, namun anda boleh mengamalkan tip-tip berikut:
pastikan faraj dan bahagian sekitarnya bersih dan kering sentiasa;
gunakan sabun biasa sahaja untuk membersihkan bahagian luar faraj;
pakai seluar atau kain yang longgar;
pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas.

Jangan terpengaruh untuk membilas bahagian dalam faraj (ini dipanggil douching). Kaedah ini boleh merosakkan kulit dan mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi dalam faraj.
Bolehkah rembesan faraj menjadi tanda bagi sesuatu masalah?

Jika rembesan anda berubah, ia mungkin perlu dirawat. Jumpalah doktor anda sekiranya rembesan yang berlaku:
berbau sangat busuk;
berbuih dan berwarna kuning atau hijau;
pekat dan berketul-ketul.

Atau sekiranya anda rasa:
sakit apabila membuang air kecil;
pedih atau lenguh;
gatal.

Bergantung kepada simptom-simptomnya, anda mungkin mengalami keputihan atau jangkitan bakteria. Sekiranya ini berlaku, ia perlu dirawat sebelum anda melahirkan. Namun perlu diingat bahawa keputihan boleh datang dan pergi sepanjang kehamilan.

Anda juga harus berjumpa doktor jika rembesan tersebut berwarna kecoklatan. Ini mungkin bermakna bahawa anda mengalami pendarahan ringan atau spotting. Keadaan ini agak biasa berlaku dalam fasa awal kehamilan, tetapi anda perlu memaklumkannya kepada doktor anda.
Bagaimana saya boleh menghentikan jangkitan faraj?

Tidak ada cara yang benar-benar berkesan, tetapi tip-tip berikut mungkin boleh membantu:
Jangan guna deodoran, produk pencuci atau pelapik seluar dalam yang beraroma. Anda juga mungkin dapati bahawa pelapik seluar dalam yang biasa juga boleh membuatkan rasa tidak selesa jika anda menggunakannya setiap hari.
Cuba gunakan sabun pencuci pakaian yang lembut dan berasaskan bahan semula jadi untuk mencuci seluar dalam anda. Bilas satu kali lagi berbanding biasa sekiranya sabun tersebut membuatkan kulit anda tidak selesa.
Jangan guna sabun wangi, gel mandian beraroma atau cecair antiseptic dalam tab mandi.
Cuci tangan bersih-bersih sebelum dan selepas menyentuh faraj anda.
Pastikan faraj anda benar-benar basah sebelum bersama dengan suami.
Jangan pakai seluar dalam yang diperbuat daripada nilon atau seluar panjang dan jeans yang ketat.
Selepas membuang air, lap bahagian sulit dari hadapan hingga ke belakang.
Jika anda merokok, berhentilah. Merokok membuatkan anda lebih cenderung mendapat jangkitan faraj. Ia juga membahayakan bayi dalam kandungan.

Cuba amalkan memakan satu cawan yogurt hidup setiap hari. Yogurt mengandungi probiotik dari jenis lactobacillus acidophilus yang dapat membantu mengekalkan keseimbangan bakteria yang sihat dalam faraj anda. Walaupun tiada bukti yang nyata bahawa ia dapat membantu, ia baik untuk kesihatan dan selamat dimakan.


kredit to Baby Center


Comments

Popular Posts